Make your own free website on Tripod.com

PaKaiaN


Di kalangan kaum India, seorang gadis mula-mula memakai atau lebih tepat lagi, dipakaikan sari apabila dia meninggalkan alam kanak-kanak dan memasuki alam remaja pada usia sekitar 12 tahun. Pemakaian sari pada kali pertama ini melambangkan pengiktirafan masyarakat terhadap gadis berkenaan sebagai sudah “dewasa”. Pakaian tradisional ini dapat dibahagikan kepada dua bahagian utama, iaitu kain sari itu sendiri yang panjangnya sekitar enam meter, dan blaus pendek (sering disebut coli sahaja). Tidak kurang penting juga adalah barang perhiasan diri seperti rantai, gelang tangan, gelang kaki dan sebagainya. Wanita India memakai perhiasan diri pada setiap anggota badan yang terdedah pada pandangan umum. Sama ada disedari atau tidak, sari berfungsi sebagai media komunikasi tanpa lisan. Mesej tertentu berupaya disampaikan oleh pemakai sari berdasarkan warna dan corak kain, cara pemakaian, jenis kain dan tempat sari dipakai. Warna blaus, fesyen blaus dan corak blaus juga mempunyai pengertian tersirat. Secara konvensional, sari putih melambangkan pemakainya adalah seorang balu. Tidak dapat dipastikan mengapa, tetapi imej itu sudah sebati dengan golongan balu. Si pemakainya secara automatis dianggap golongan yang sudah merasai segala nikmat dan derita hidup, dan kini menunggu masa untuk kembali menemui Tuhan. Biasanya si pemakai sari putih diberi tempat khas dalam masyarakat dan dihormati (juga dikasihani). Di kalangan masyarakat India yang beraga Kristian pula, wanita yang kematian suami memakai sari hitam semasa majlis pengebumian. Orang India berketurunan Malayalam pula memakai sari putih yang mempunyai zari emas di bahagian tepi. Warna sari putih yang berzari emas memberitahu bahawa pemakainya berketurunan Malayalam. Sari putih yang dijaga dengan baik juga menyerlahkan peribadi si pemakai sebegai seorang yang kemas dan sentiasa menjaga kebersihan. Malah, itulah juga makna simbolik yang disampaikan oleh balu bersari putih: bahawa dia suci dan bersih daripada segala noda dan kekotoran (sejak kematian suaminya). Sari berwarna kuning pula sering dipakai apabila seseorang membawa kavadi atau membayar nazar di kuil. Maka, si pemakainya tidak mengira usia sentiasa dihormati oleh semua orang. Mereka dihormati kerana mereka mempunyai tujuan khas datang ke kuil; iaitu untuk menyempurnakan upacara suci. Sari warna lain, sama ada satu warna atau gabungan pelbagai warna, biasanya menggambarkan peribadi pemakainya. Warna yang terang menggambarkan peribadi ceria si pemakai. Malah ada pula golongan yang suka memakai sari yang warnanya menyilau mata. Si pemakai mungkin bersifat berani dan mahu orang ramai, terutama pemuda, memandang mereka. Sari berwarna pudar pula mencerminkan sikap si pemakai yang pemalu, tidak suka bergaul dan kurang bersosial. Mereka bagai tidak mahu menarik perhatian orang ramai. Mungkin juga mereka memiliki sikap merendah diri serta menganggap diri mereka kurang menarik.

Sari berwarna merah memperlihatkan sifat pemakain yang dikatakan pemarah, garang atau sukar didekati. Ia selari dengan peribadi Dewi Kaali bersari merah yang dikatakan berupaya ‘membinasakan’ sesiapa yang cuba mempermainkannya. Jadi, para pemuda yang suka mengusik wajar berhati-hati apabila bertemu gadis bersari serba merah; lebih-lebih lagi jika warnanya merah darah! Selain itu, kita dapat mengenali kedudukan sosial dan status seseorang berdasarkan cara dia memakai sari. Secara tradisional, setiap keturunan dan golongan sosial dalam masyarakat India mempunyai cara pemakaian sari yang tersendiri. Golongan Brahmin misalnya mengikat sari dengan cara yang khusus. Golongan bawahan yang bekerja di sawah, ladang atau memcuci pakaian (dobi) memakai sari hingga ke paras lutut; sesuai dengan jenis pekerjaan yang dilakukan. Jadi cara pemakaian sari turut menunjukkan status sosial dalam masyarakat mengikut jenis pekerjaan. Pembahagian masyarakat India mengikut jenis pekerjaan disebut “sistem jati” dan “sistem varna” dan bukannya “sistem kasta”. Cara pemakain sari juga membezakan keturunan seseorang. Masyarakat India berketurunan Tamil yang merupakan majoriti kaum India di Malaysia biasanya meletakkan mundani (bahagian ‘selendang’ sari) pada bahu kiri. Orang Telegu pula meletakkannya pada bahu kanan. Pakaian orang Malayalam pula disebut mundhu dan neri. Pada asalnya, orang Malayalam tidak mengenakan mundani. Tetapi apabila kain sari berzari digunakan bagi menggantikan mundhu dan neri, bahagian mundani kain sari itu disilangkan pada bahu kanan dari arah belakang dan diletakkan dalam corak neri di bahagian dada. Pada hari ini, sari juga dipakai secara tidak konvensional. Para pereka mencipta fesyen dan pemakaian sari secara moden. Dengan ini, cara memakai sari juga turut mengalami perubahan mengikut peredaran zaman. Cara pemakaian sari dikatakan boleh menggambarkan peribadi seseorang. Sari yang dipakai ketat sehingga menampakkan susuk tubuh menunjukkan bahawa si pemakai berani dan berbangga dengan bentuk tuduhnya; lalu mahu ditayangkannya kepada umum. Sekiranya selendang digunakan untuk menutup kepala serta bahagian pinggang tidak banyak terdedah, si pemakai mungkin malu dengan bentuk tubuhnya atau semata-mata tidak mahu “mempertontonkan” tubuhnya kepada umum.

Kalau menampakkan bahagian pinggang dan pusat, pemakainya dikatakan berani dan gemar bergaya. Mereka ini juga biasanya mengikat sari dengan ketat bagi menampakkan susuk tubuh. Mungkin mereka mahu kecantikan yang dimiliki oleh mereka ditonton dan dihargai umum! Cara memakai sari ke kuil berbeza dengan cara memakainya apabila pergi ke acara sosial atau pesta. Mekap dan barang perhiasan juga perlu disesuaikan dengan tempat dan keadaan di mana sari itu dipakai. Blaus juga menjadi sebahagian daripada pakaian sari. Warna blaus mempunyai fungsi yang sama seperti warna kain sari. Begitu juga corak kain yang digunakan. Blaus berleher kecil, menutup bahagian perut serta berlengan panjang menampakkan peribadi si pemakai yang pemalu dan tidak mahu mendedahkan tubuhnya. Walau bagaimanapun, blaus jenis ini, sekiranya ketat, boleh membawa maksud bahawa si pemakai mahu kelihatan anggun dan seksi. Berdasarkan jenis kain sari yang dipakai, kita boleh juga menganggarkan kekayaan si pemakai. Sari daripada benang sutera dipakai oleh wanita yang lebih berada berbanding sari kain nilon atau kain kapas. Kanchipuram dan Banares adalah antara jenis sari kain sutera yang bermutu tinggi serta mahal harganya; bergantung kepada kualiti dan seni tenunan. Yang nyata, selain fungsi asas sebagai pakaian yang melindungi badan, sari juga berupaya menyalurkan pelbagai mesej dan maklumat kepada orang ramai yang memperhatikan si pemakai. Selain sari terdapat juga pakaian tradisional lain bagi kaum wanita iaitu salwar kameez.Walaupun pakaian ini sebenarnya berasal daripada orang Punjabi namun kaum India juga biasa memakai pakaian ini.