Make your own free website on Tripod.com

PeRkAhWiNaN


Perkahwinan merupakan adat yang paling penting dalam senarai upacara kitaran hidup bagi orang India. Jika dilihat dalam aspek agama Hindu, sepanjang kehidupan, seorang hanya boleh berkahwin sekali sahaja. Perkahwinan ini adalah untuk sepanjang hayatnya. Konsep cerai tidak ada dalam ajaran Hindu. Terdapat beberapa aspek/adat yang perlu diikuti sebelum upacara perkahwinan.

MERISIK
Dalam peringkat merisik beberapa aspek diberi penekanan termasuklah faktor etnik, subetnik, dan agama. Selain itu, terdapat juga faktor-faktor seperti status ekonomi dan status sosial keluarga yang diberi perhatian. aspek-aspek lain seperti umur, tahap pendidikan, jenis pekerjaan, dan lain-lain hal peribadi seperti etika dan moral tetap diberi perhatian. Selalunya maklumat ini diperolehi secara langsung dari pihak yang terlibat dan juga secara tidak langsung menerusi sahabat handai dan saudara-mara.

ADAT MENGUNJUNGI RUMAH BAKAL PENGANTIN
Setelah merisik dan dirasakan sesuai, pihak bakal pengantin lelaki akan megunjungi rumah bakal pengantin perempuan. Selalunya bilangan orang yang mengunjungi rumah bakal pengantin perempuan hendaklah dalam bilangan ganjil. Bakal pengantin lelaki akan turut serta. Sebagai buah tangan beberapa barang seperti kelapa, sirih, pinang, cendana, bunga, buah-buahan serta serbuk kumkum turut dibawa. Ini dikatakan sebagai barang yang bertuah dan baik. Barang-barang ini dibawa sebagai memberitahu pihak pengantin perempuan bahawa kedatangan mereka adalah untuk tujuan yang baik lagi bertuah. Sekiranya pihak pengantin perempuan menerime barang-barang ini bererti mereka sudi membicarakan hal perkahwinan. Mereka akan dijemput oleh pihak bakal pengantin perempuan. Selalunya bakal pengantin perempuan yang memakai sari akan menghidangkan minuman. Ini adalah peluang untuk melihat bakal pengantin perempuan dari dekat. Ada kalanya dia ditanya beberapa soalan untuk melihat cara dia menjawab. Sekiranya dirasakan sesuai, maka persetujuan akan dibuat ataupun persetujuan akan diberitahu menerusi pengantara. Pihak bakal pengantin perempuan pula akan membalas kunjungan kerumah bakal penganti lelaki. tetapi bakal pengantin perempuan tidak turut serta.

ADAT MENKAJI KECOCOKAN BAKAL PENGANTIN
Mengkaji kecocokan pengantin merupakan suatu amalan yang unik bagi masyarakat India. Ini penting kerana tiada konsep cerai bagi penganut agama Hindu. Jika ada kecocokan dipercayai pasangan itu akan hidup bahagia. Kecocokan bakal pengantin dibuat berdasarkan tilikan masa depan seseorang berdasarkan kiraan almanak Hindu masing-masing.

IKAT JANJI
Sekiranya kecocokan tadi bersesuaian dan diterima oleh kedua-dua bakal pengantin, maka upacara ikat janji diadakan. Seperti biasa orang dalam bilangan yang ganjil akan pergi ke rumah bakal pengantin perempuan. Bakal pengantin lelaki akan turut serta. Barang bertuah lagi baik seperti kelapa, sirih, dan sebagainya dibawa bersama kerumah bakal pengantin perempuan. Bapa kedua-dua pengantin akan duduk berhadapan. Kalau bapa sudah meninggal, saudara-mara terdekat boleh menggantikannya. Kedua-dua belah pihak akan mengisytiharkan bahawa masing-masing menerima serta mengesahkan cadangan perkahwinan. Sebagai tanda ikatan, kedua pihak pengantin akan bertukar sirih pinang. Seterusnya perkara-perkara lain yang berkaitan dengan perkahwinan akan dibincangkanserat dibuat keputusan.

PERTUNANGAN
Upacara pertunangan diadakan pada hari dan ketika yang baik dan dipersetujui oleh kedua belah pihak pengantin. Pengantin lelaki akan membawa hadiah yang diaturkan dalam dulang, bilangannya adalah ganjil. Hadiah akan dibawa berarak dimana pengantin lelaki akan mengetuai perarakan dengan pakaian tradisional iaitu dhoti.Hadiah-hadiah tadi antaranya ialah sari perkahwinan dan sari pertunangan, barang-barang kemas, barang-barang perhiasan, buah-buahan, gula batu, sirih pinang, kelapa, dan sebagainya. Pihak pengantin perempuan pula akan membersihkan rumah serta menghiasnya. Dihadapan pintu masuk rumah, pantal (pondok hijau/ binaan sementara) yang beratapkan daun pokok kelapa yang dianyam didirikan. Daun kelapa muda dan daun pokok mangga dijadikan perhiasan. Pengantara yang dipilih akan mempengerusikan majlis. sebagai permulaan upacara, sembahyang diadakan. Selepas itu, pihak lelaki akan menyampaikan hadiah-hadiah yang dibawa. Sebelum pengantin perempuan bersedia, hal-hal yang berkaitan dengan perkahwinan dibincangkan. Sebaik sahaj pengantin perempuan siap dihias dia akan dipimpin oleh seorang perempuan ke ruang tamu di mana kedua-dua pengantin bertukat memakai kalungan bunga. Pertukaran cincin juga turut dilakukan.

ADAT PENYEDIAAN THALI
Thaali ialah simbol suci perkahwinan yang diikat pada leher pengantin perempuan oleh pengantin lelaki.Tujuh atau sembilan hari sebelum hari perkahwinan, pihak pengantin lelaki akan membawa emas kepada tukang emas untuk membuat Thaali.

UPACARA PERKAHWINAN
Sebagai upacara pertama pengantin lelaki akan dipimpin oleh pengapit pengantin lelaki ke pentas perkahwinan seperti mimbar dan setelah mengellilinginya,mereka akan duduk dihadapan pentas. Pedanda memulakan upacara perkahwinan dengan sembahyang memohon restu kepada Tuhan supaya perkahwinan berjalan lancar tanpa apa-apa halangan. Pengapit pengantin lelaki akan mengalungkan kalungan bunga kepada penganti lelaki. Seterusnaya pedanda yang mengendalikan upacara iniakan mengikat tali berwarna kuning di pergelangan tangan pengantin lelaki. Sementara itu, pakaian perkahwinan serta kalung dibawa kepada para hadirin untuk mendapatkan restu. Pengapit pengantin lelaki akan menerima pakaian serta kalungan bunga tadi dan memimpin pengantin lelaki ke bilik untuk bertukar pakaian. Kini tiba pula masa bagi pengantin perempuan.Pengantin perempuan akan akan dipimpin oleh pengapit pengantin perempuan.Upacara-upacara yang dilakukan oleh pengantin lelaki turut dilakukan oleh pengantin perempuan.Pengapit pengantin perempuan akan memimpin pengantin perempuan kebilik untuk menukar pakaian. Pengantin lelaki yang memakai pakaian perkahwinan serta kalungan bunga akan masukke dewan perkahwinan. Dipintu masuk, pengapit pengantin lelaki akan memakai cincin jari kaki, setiap satu bagi kaki kanan dan kiri. Sebelum memakaikan cincin tersebut pengapit pengantin lelaki akan menempatkan kakipengantin lelaki diatas batu giling,membersihkannya dengan susu serta menyapu cendana, kumkum dan menaburkan bunga. Secara simbolik pengapit pengantin lelaki mengingatkan pengantin lelaki supaya tabah hati dan berpegang teguh pada perkahwinan ini seperti teguhnya batu giling. Sebaik sahaja upacara ini selesai pengantin lelaki akan menghadiahkan cincin emas kepada pengapit pengantin lelaki. Pengantin lelaki akan duduk diatas pentas sementara pengantin perempuan pula akan duduk disebelahnya. Thali yang diikat pada segumpal benang suci dililitkan pada sebiji kelapa yang dibersihkan serta disapu serbuk kunyit. Thali diletakan dalam dulang yang dialas dengan kain sutera. Dulang ini dibawa kepada hadirin untuk mendapatkan restu. Dulang berisi atchatai turut dibawa kepada hadirin. Atchatai ialah beras yang dicampur kunyit serta bunga yang ditaburkan diatasnya. Beras ini digunakan untuk merestui para pengantin sewaktu upacara mengikat thali berlangsung. Setelah itu thaali akan dibawa kepada pedanda. Pedanda akan menyerahkan thaali itu kepada pengantin lelaki. Thaali akan kelihatan tergantung, pengantin lelaki akan memegang kedua hujung benang suci. Sebaik sahaja diarahkan oleh pedanda, pengantin lelaki akan mengikat thaali pada leher pengantin perempuan. Thaali hendaklah menyentuh dada dan benang suci akan disimpul sebanyak tiga kali.Sewaktu upacara ini berlangsung atchatai akan ditaburkan keatas pengantin sebagai tanda restu. Seterusnya pengantin akan bertukar kalungan bunga yang dipakai sebanyak tiga kali. Selepas itu pengantin akan bangun dari pentas dimana pengantin lelaki akan memegang tangan pengantin perempuan dan mengelilingi api sebanyak tiga kali. Sebelum bertolak kerumah pengantin lelaki, pengantin perempuan diberikan sebiji kelapa yang dibersihkan disapu serbuk kunyit serta dibalut dengan kain kuning. Sebaik sahaja sampai dirumah pengantin akan masuk kedalam rumah dengan melangkah kaki kanan masuk dahulu. Sebaik sahaja masuk kerumah , pengantin perempuan akan meletakan kelapa tadi di bilik sembahyang.
-Sekian-